Sunday, July 26, 2009

Tanda tanya kematian Teoh Beng Hock

Hari ini 27 julai 2009 merupakan hari bersejarah dalam hidup saya dimana saya telah mula menulis blog. Saya ingin menjadikan blog ini satu ruang untuk saya memberi pandangan peribadi saya terhadap sesuatu isu. Semestinya isu yang hangat diperkatakan sekarang ini ialah isu kematian Teoh Beng Hock setiausaha politik exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah yang juga ADUN Seri Kembangan - ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam Khamis lalu.

Disini saya ada beberapa kemusykilan yang menjadi tandatanya dan akan saya lemparkan untuk renungan kita bersama.

1. Jika Teoh dibebaskan pada pukul 3.45 pagi, mengapa telefon bimbit mangsa masih dalam pegangan pegawai SPRM sedangkan mangsa meninggal dunia dalam lingkungan 8 hingga 9 pagi? Mungkinkah ada maklumat penting dalam telefon bimbit mangsa untuk dijadikan bukti dan menjadi simpanan pihak SPRM?

2. Mengapa pihak SPRM begitu rajin dan menyoalsiasat saksi sehingga sebegitu lewat (3.45pagi)?

3. Mengapa setelah dibebaskan pada pukul 3.45pagi (seperti didakwa oleh pihak SPRM), Teoh masih mahu berehat di pejabat SPRM? Adakah pejabat itu bertaraf 5 bintang untuk berehat atau ada sebab-sebab lain seperti keselamatan terancam sekiranya pulang pada waktu tersebut?

4. Sekiranya mangsa membunuh diri, mengapa? Adakah kerana mangsa telah diberi tekanan secara mental yang serius semasa disoalsiasat ataupun mangsa berasa serba salah untuk membongkar perkara sebenar bos beliau?

5. Sekiranya mangsa dibunuh pula, mengapa? Adakah pihak SPRM mahu membunuh saksi atau mangsa terbunuh secara tidak sengaja? Atau ada pihak yang tidak mahu rahsia mereka dibongkar mendalangi tragedi ini?

6. Siapa yang boleh memasuki pejabat SPRM sewenang-wenangnya? Pegawai SPRM sendiri atau ada pegawai SPRM bersubahat membenarkan orang luar masuk ke pejabat mereka sekiranya mangsa dibunuh?

7. Mungkinkah orang luar menyelinap masuk? Ini bermakna kawalan keselamatan yang agak longgar di pejabat SPRM.

8. Walaupun tragedi ini berlaku di pejabat SPRM salah satu agensi kerajaan, namun adakah semua kakitangan kerajaan menyokong kerajaan? Adakah ada unsur-unsur sabotaj terhadap kerajaan? Atau adakah mungkin kakitangan kerajaan bekerja untuk pihak lain? kerana bukan semua kakitangan kerajaan menyokong kerajaan.

9. Adakah pengorbanan mangsa adalah untuk mengalihkan perhatian masyarakat dan melambatkan proses terhadap kes-kes yang sedang disiasat SPRM dan juga kemelut politik di Pulau Pinang (masalah Kg Pala), Kedah (penutupan tempat penyembelihan khinzir) ataupun kes liwat DSAI?

10. Adakah kes ini akan menemui jawapannya? Ataupun kebenaran kes ini tertutup selama-lamanya dan pergi bersama saudara Teoh Beng Hock?

Saya berpendapat perkara sebenar hanya diketahui oleh mangsa dan Tuhan sahaja. Parti politik semestinya menjadikan isu ini sebagai modal politik, kalau tidak bukan politik pula namanya. Pakatan rakyat pula pada awal tragedi telah melaungkan supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kes ini. Setelah ditubuhkansuruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas, ditubuhkan juga satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh serta Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin, Pakatan rakyat masih lagi tidak berpuashati dengan menyifatkan penubuhan ini memperolok keadilan. Kalaupun tidak berpuashati, biarlah kita menunggu laporan suruhanjaya terlebih dahulu dan lihat apa yang akan dilaporkan sebelum menyatakan pendirian seterusnya. Ini tidak, apa yang kerajaan buat sentiasa terus dibangkang. Ini menunjukkan pakatan rakyat telah mendahului isu ini sebelum laporan diumumkan. Pihak Barisan Nasional pula, jangan cuba melindungi perkara sebenar. Sekiranya benar kakitangan SPRM bersalah, hukuman patut dijalankan.

Sebagai rakyat yang matang dan waras, kita perlu mempertimbangkan segala kemungkinan yang ada dalam berlakunya tragedi ini. Tidak wajar kita mengadili sesuatu isu berpandukan emosi ataupun terus percaya secara membuta-tuli tuduhan mana-mana pihak sebelum perkara sebenar dibongkar. Sekian.