Wednesday, April 7, 2010

Jangan Politikkan Bangsa, YB Pasir Mas

Dipetik dari Malaysiakini.com (6th April 2010):
Ibrahim: MCA, Gerakan jangan menari rentak DAP
Apr 6, 10 8:12pm
Ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata MCA dan Gerakan kini dilihat mengikut rentak DAP yang giat mempertikaikan sesiapa sahaja yang mempertahankan kepentingan Bumiputera.

NONEBeliau memberi amaran, kedua-dua parti komponen BN itu bakal kehilangan sokongan daripada golongan Melayu sekiranya terus mengambil pendirian seperti itu.

"Mereka (DAP) terus menerus memainkan jarum halus menyucuk dan memperbesar-besarkan sesiapa saja yang mempertahankan hak dasar afirmatif mempertahankan Dasar Ekonomi Baru, contohnya, maka mereka ini dicap sebagai rasis dan perkauman.

"MCA dan Gerakan juga turut sekali kerana hendak menjaga sentimen sokongan orang Cina dan mereka juga terjebak dalam permainan politik DAP.

"Akhirnya MCA dan Gerakan juga akan hilang sokongan pengundi Melayu dalam pilihanraya akan datang. Ini ingatan saya kepada pihak MCA dan Gerakan," katanya lagi ketika membahaskan usul bajet tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

NONEBeliau juga turut mengambil peluang untuk mengecam wakil Ipoh Timur Lim Kit Siang yang berucap sebelum itu dengan memanggilnya dengan gelaran 'Bapa Perpecahan'.

"Tadi saya dengar Ipoh Timur bukan main lagi kecam PERKASA. Saya amat bangga sebab dia sebut PERKASA, maknanya Ipoh Timur sudah mengiktiraf kekuatan dan kelantangan PERKASA dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Bumiputera.

"Beliau macam orang histeria menyalahkan PERKASA. Tapi kenapa dia tidak sebut Suqiu, kenapa dia tidak sebut Dong Jiao Zong, kenapa dia tidak sebut soal Hindraf?

"Sebab apa dia nak kata Bangsa Malaysia? Sebab dia tahu dia Cina dan juga rakyat Malaysia, dia tahu ketuanan negara ini Melayu.

"Sebab itu dia hendak hapuskan Melayu dengan memperbesarkan bangsa Malaysia dengan menindakkan Melayu sebab dia adalah bapa perpecahan Cina yang paling besar," katanya.

Nampaknya ahli parlimen Pasir Mas (Bebas) hasil ehsan peruntukan kerusi Pas, Datuk Ibrahim Ali semakin lantang mempertahankan PERKASA sebuah NGO yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Saya berpendapat tidak salah YB Pasir Mas memperjuangkan bangsa beliau sendiri, akan tetapi pada ketika ini tindak-tanduk beliau telah melihatkan kejumudan pemikiran beliau yang mempertahankan bangsa secara membuta-tuli. Adakah bangsa lain meminta lebih? Kita hanya mahukan kesamarataan dalam sesetengah isu, contohnya pendidikan bukannya menghapuskan keistimewaan orang melayu yang sedia termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Era berubah, kita juga perlu berubah mengikut aliran semasa. Jangan terlalu sensitif terhadap niat orang lain, jangan lagi hamburkan kata-kata seperti “jangan dijolok sarang tebuan”, “jangan bermain api” apabila diberi pandangan yang menjurus kearah perkauman demi memperbaiki mutu negara kita bersama. Kalau pemimpin kita terlalu terikat dengan sesesuatu isu itu tidak boleh disentuh, sampai bila kita nak menerjah menembusi tembok tersebut. Sebagai bangsa Malaysia, sepatutnya kita semua dapat bertoleransi antara satu sama lain, dapat berbincang apa jua isu untuk pembangunan tamadun negara.

Bangsa melayu perlu sedar bahawa orang-orang cina di Malaysia tidak akan pulang semula ke Negara China untuk dikebumikan, hidup mati sudah di bumi Malaysia. Bangsa cina juga harus faham kita bukan hidup di Negara china, sedikit-sebanyak perlu memahami adat resam orang melayu. Jadi titik tengah perlu diambil untuk menyambung kesinambungan hubungan antara etnik di Malaysia. Jurang antara kaum masih tebal wujud kerana terdapat sesetengah pemimpin kita terlalu sensitif terhadap kaum masing-masing. Sekiranya pemimpin cina mengutuk bangsa melayu, bangsa melayu akan melatah. Begitu juga jika pemimpin melayu mengutuk orang cina, bangsa cina mengamuk. Namun, sekiranya perkara yang sama ditegur oleh pemimpin bangsa masing-masing, reaksi penerimaan berlainan pula akan berlaku seolah-olah dapat menerima teguran tersebut

Saya masih ingat sebelum Tun Dr Mahathir pemimpin yang saya sanjungi bersara, beliau telah mengingatkan bangsa melayu dengan isu “melayu mudah lupa” dan jawatan Perdana Menteri Malaysia boleh dijawat oleh bukan melayu, reaksi pada masa itu walaupun ada pihak yang tidak gembira namun masih boleh menelan kata-kata tersebut. Cuba saudara-saudari bayangkan sekiranya pemimpin Cina MCA yang menyatakan kata-kata tersebut, apakah reaksi yang akan diterima? Jadi cadangan saya kepada YB Pasir Mas agar pandang ke hadapan dengan seluas-luasnya, jangan terlalu politikkan bangsa. Politik perkauman perlu dikikis dan ditinggalkan pada ketika Perdana Menteri memperkenalkan konsep 1Malaysia. Kalau betul YB Pasir Mas begitu membela nasib bangsa melayu, jangan hanya lantang di parlimen,media dan akhbar. Bangunkan Pasir Mas yang majoriti rakyatnya adalah melayu. Wujudkankan peluang pekerjaan kepada golongan ini kerana sekarang musim kemarau di Kelantan, air sungai surut hasil etak kurang kerana Pasir mas juga dikenali tempat menjual etak.( Etak adalah sejenis kerang yang hanya dijual di Kelantan). Apabila diberi peluang berucap membahaskan usul bajet tambahan di Dewan Rakyat, cadangkanlah pembangunan di Pasir Mas. Jangan gunakan peluang ini untuk menjadi hero bangsa melayu dengan hanya membela NGO bernama PERKASA. Sekiranya nak bela PERKASA wujudkan persidangan NGO. Tidak ada orang melarang membela bangsa sendiri. Tapi biar bela tepat dengan masa dan tempat. Jadi disini tidak timbul isu MCA akan kehilangan sokongan kaum melayu sekiranya membela bangsa cina, pemimpin MCA tidak membela membuta-tuli. Mereka menyatakan hasrat masyarakat cina kepada kerajaan dan inilah juga matlamat asal penubuhan parti politik berorientasikan kaum untuk mewakili kaum masing-masing. Takkan bangsa cina nak harapkan YB Pasir Mas membela nasib mereka.

Hanya satu pujian yang layak saya berikan kepada YB Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali ini adalah kesetiaannya terhadap Tun Dr Mahathir. Ini saya perlu tabik YB Pasir Mas, walaupun pada suatu ketika Tun Dr Mahathir dicaci, dicemuh namun YB Pasir Mas masih berdiri disisi Tun. Maknanya YB Pasir Mas juga seorang yang mengenang budi, beliau pernah menjawat jawatan timbalan menteri semasa pemerintahan Tun. Perbuatan ini harus dipuji dan diteladani.

Sunday, July 26, 2009

Tanda tanya kematian Teoh Beng Hock

Hari ini 27 julai 2009 merupakan hari bersejarah dalam hidup saya dimana saya telah mula menulis blog. Saya ingin menjadikan blog ini satu ruang untuk saya memberi pandangan peribadi saya terhadap sesuatu isu. Semestinya isu yang hangat diperkatakan sekarang ini ialah isu kematian Teoh Beng Hock setiausaha politik exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah yang juga ADUN Seri Kembangan - ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam Khamis lalu.

Disini saya ada beberapa kemusykilan yang menjadi tandatanya dan akan saya lemparkan untuk renungan kita bersama.

1. Jika Teoh dibebaskan pada pukul 3.45 pagi, mengapa telefon bimbit mangsa masih dalam pegangan pegawai SPRM sedangkan mangsa meninggal dunia dalam lingkungan 8 hingga 9 pagi? Mungkinkah ada maklumat penting dalam telefon bimbit mangsa untuk dijadikan bukti dan menjadi simpanan pihak SPRM?

2. Mengapa pihak SPRM begitu rajin dan menyoalsiasat saksi sehingga sebegitu lewat (3.45pagi)?

3. Mengapa setelah dibebaskan pada pukul 3.45pagi (seperti didakwa oleh pihak SPRM), Teoh masih mahu berehat di pejabat SPRM? Adakah pejabat itu bertaraf 5 bintang untuk berehat atau ada sebab-sebab lain seperti keselamatan terancam sekiranya pulang pada waktu tersebut?

4. Sekiranya mangsa membunuh diri, mengapa? Adakah kerana mangsa telah diberi tekanan secara mental yang serius semasa disoalsiasat ataupun mangsa berasa serba salah untuk membongkar perkara sebenar bos beliau?

5. Sekiranya mangsa dibunuh pula, mengapa? Adakah pihak SPRM mahu membunuh saksi atau mangsa terbunuh secara tidak sengaja? Atau ada pihak yang tidak mahu rahsia mereka dibongkar mendalangi tragedi ini?

6. Siapa yang boleh memasuki pejabat SPRM sewenang-wenangnya? Pegawai SPRM sendiri atau ada pegawai SPRM bersubahat membenarkan orang luar masuk ke pejabat mereka sekiranya mangsa dibunuh?

7. Mungkinkah orang luar menyelinap masuk? Ini bermakna kawalan keselamatan yang agak longgar di pejabat SPRM.

8. Walaupun tragedi ini berlaku di pejabat SPRM salah satu agensi kerajaan, namun adakah semua kakitangan kerajaan menyokong kerajaan? Adakah ada unsur-unsur sabotaj terhadap kerajaan? Atau adakah mungkin kakitangan kerajaan bekerja untuk pihak lain? kerana bukan semua kakitangan kerajaan menyokong kerajaan.

9. Adakah pengorbanan mangsa adalah untuk mengalihkan perhatian masyarakat dan melambatkan proses terhadap kes-kes yang sedang disiasat SPRM dan juga kemelut politik di Pulau Pinang (masalah Kg Pala), Kedah (penutupan tempat penyembelihan khinzir) ataupun kes liwat DSAI?

10. Adakah kes ini akan menemui jawapannya? Ataupun kebenaran kes ini tertutup selama-lamanya dan pergi bersama saudara Teoh Beng Hock?

Saya berpendapat perkara sebenar hanya diketahui oleh mangsa dan Tuhan sahaja. Parti politik semestinya menjadikan isu ini sebagai modal politik, kalau tidak bukan politik pula namanya. Pakatan rakyat pula pada awal tragedi telah melaungkan supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kes ini. Setelah ditubuhkansuruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas, ditubuhkan juga satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh serta Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin, Pakatan rakyat masih lagi tidak berpuashati dengan menyifatkan penubuhan ini memperolok keadilan. Kalaupun tidak berpuashati, biarlah kita menunggu laporan suruhanjaya terlebih dahulu dan lihat apa yang akan dilaporkan sebelum menyatakan pendirian seterusnya. Ini tidak, apa yang kerajaan buat sentiasa terus dibangkang. Ini menunjukkan pakatan rakyat telah mendahului isu ini sebelum laporan diumumkan. Pihak Barisan Nasional pula, jangan cuba melindungi perkara sebenar. Sekiranya benar kakitangan SPRM bersalah, hukuman patut dijalankan.

Sebagai rakyat yang matang dan waras, kita perlu mempertimbangkan segala kemungkinan yang ada dalam berlakunya tragedi ini. Tidak wajar kita mengadili sesuatu isu berpandukan emosi ataupun terus percaya secara membuta-tuli tuduhan mana-mana pihak sebelum perkara sebenar dibongkar. Sekian.